PEGAWAI JPJ menunjukkan lori hantu yang ditahan dalam operasi di Pengerang, Kota Tinggi, Sabtu lalu.
Mohd Sabran Md Sani


JOHOR BAHRU: Kegiatan lori hantu yang didalangi warga asing terbongkar apabila kenderaan itu dirampas dalam operasi di persimpangan lampu isyarat Gate 2, Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Razali Wagiman berkata, dalam operasi itu sembilan lori hantu ditahan Unit Siasatan dan Risikan JPJ.

Katanya, operasi diketuai Timbalan Pengarah JPJ, Azmil Zainal Adnan bersama 14 anggota dijalankan selepas menerima aduan kegiatan itu di kawasan berkenaan.

“Mulanya operasi itu bagi menahan kenderaan berat yang membawa bauksit berlebihan, tetapi kami mengesan lori hantu yang menggunakan jalan itu.

“Pasukan anggota JPJ mengepung kenderaan terbabit dan menahan sembilan lori hantu dipandu warga asing untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Pejabat JPJ Johor di Taman Daya, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati lori hantu itu disyaki disewa sebuah syarikat pembinaan di Pengerang daripada syarikat pengangkutan yang beroperasi di Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan mendapati, semua lori tiada nombor pendaftaran manakala pemandu pula warga Nepal, Bangladesh, Filipina dan Indonesia tidak mempunyai lesen memandu negara ini,” katanya.

“Kami semak setiap kenderaan berat itu tidak mempunyai nombor casis atau enjin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 8:02 AM