DUA lelaki yang dipercayai penagih dadah ditahan. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana


TINDAKANNYA menendang seorang lelaki kononnya untuk membantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memberkas suspek gagal menyelamatkan seorang penagih daripada ditahan penguat kuasa AADK.

Lelaki berusia 32 tahun itu antara enam penagih yang ditahan dalam Op Cegah bermula jam 9 malam dan berakhir 3 pagi tadi, di kawasan Inanam Capital, Kota Kinabalu.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 29 tahun cedera ketika cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan di Inanam Capital selepas menyedari kehadiran sepasukan penguat kuasa AADK Sabah.

Susulan itu, pasukan penguat kuasa AADK mengejarnya dan berlaku sedikit pergelutan.

Pada masa sama, seorang lelaki tiba-tiba datang dan terus menendang bahagian muka suspek sehingga luka teruk di bahagian dahinya.

Tindakan lelaki itu menyebabkan dia turut ditahan dan hasil soal siasat mendapati kedua-dua mereka ini saling kenal dan pernah bergaduh sebelum ini akibat masalah dadah.


ANTARA penagih yang ditahan. (Gambar kecil) Ujian air kencing yang dijalankan. FOTO Junaidi Ladjana

Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Operasi Cegah selama lapan jam bermula 9 malam itu, menahan seramai sebelas orang kerana disyaki penagih dadah.

“Daripada jumlah itu, enam lelaki ditahan selepas ujian air kencing dijalankan mengesahkan mereka positif dadah jenis syabu,” katanya.

Lawrence berkata, seorang daripada suspek dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan kerana mengalami luka di bahagian dahi.

“Semua suspek berusia 20 hingga 40 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Operasi itu membabitkan seramai 10 penguat kuasa dari AADK Sabah dan AADK Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 11:23 AM