AHLI Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat pada sidang Dewan Rakyat ,Parlimen. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid


ORANG Asli hari ini mencatat sejarah negara apabila Ahli Parlimen Cameron, Highlands Ramli Mohd Nor mengangkat sumpah di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, menjadikannya Orang Asli pertama bergelar Ahli Parlimen.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sejurus persidangan bermula.

Ramli yang juga calon Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 27 Januari lalu dengan majoriti 3,238 undi.

Bekas pegawai kanan polis itu memperoleh 12,038 undi, menewaskan pencabar dari Pakatan Harapan M Manogaran yang memperoleh 8,800 undi, manakala 2 calon BEBAS Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh dari BN dalam PRU-14 terbatal dan tidak sah berikutan didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 12:02 PM