STRERAM mengangkat tangan ketika beliau dinamakan sebagai calon untuk bertanding di PRK DUN Rantau, semalam. FOTO Syarafiq Abd Samad
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid


“KITA tak akan letak sebagai calon kalau dia tak layak menjadi calon kerana setakat yang kita tahu dia layak sebagai calon,” tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri ketika mengulas pertikaian pemilihan semula Dr S Streram sebagai calon Pahakan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April berkata, penyelaras DUN itu masih layak untuk bertanding berdasarkan maklumat yang ada.

“Dia ada hutang? Kalau itu melanggar undang undang dan kerana itu dia tak layak menjadi calon. Setakat yg kita tahu, dia masih layak jadi calon. Kalau bankrupt, tak boleh la,” kata beliau kepada media di lobi Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan pakar bius itu sebagai calon PH.

Bagaimanapun ada suara yang tidak berpuas hati selepas Streram mendakwa beliau difitnah atas tuduhan gagal membayar balik hutang dipercayai berjumlah RM62,000 yang dipinjam daripada seorang Ahli Parlimen PKR.

Beliau berkata, hutang berkenaan sudah dijelaskan sepenuhnya kepada Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr R Santhara Kumar dan semua dokumen serta bukti pembayaran telah diserahkan kepada pimpinan pusat selepas isu tersebut dibangkitkan di peringkat dalaman.

Dr Streram adalah calon PKR bagi kerusi DUN Rantau pada PRU lalu dan bertanggungjawab memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Mahkamah Tinggi Seremban pada 23 Mei lalu.

Susulan itu, pada 16 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad diumumkan menang selepas Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan disebabkan tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dr Mahathir berkata, pemilihan semula Dr Streram berikutan beliau menjadi mangsa penipuan pada PRU-14.

“Jadi orang yang lama diletakkan di situlah,” kata beliau.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 6:54 PM