FUZIAH (kiri) bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun melakukan gimik perasmian majlis pelancaran Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M di Dewan Majlis Perbandaran Seremban. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim


UNIT Pemantauan Isu Hina Islam yang baru ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerima kira-kira 10,000 aduan dalam tempoh seminggu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, unit itu ditubuhkan bagi memantau tindak-tanduk pihak tidak bertanggungjawab menghina dan mempersenda agama Islam di semua platform termasuk media sosial.

Menurutnya, pihaknya meneliti semua aduan itu termasuk mengenal pasti akaun pemilik media sosial yang digunakan sama ada palsu atau sebaliknya sebelum sebarang tindakan diambil.

“Setiap aduan diteliti sebab ada akaun palsu dan ada yang betul, malah ada juga aduan berulang dan itu yang akan dilihat. Apa yang merisaukan adalah jumlahnya begitu besar dan ia seolah menjadi-jadi.

“Ini perkara tidak sihat hasil daripada jurang yang besar dalam hal ehwal agama dan budaya. Inilah budaya yang kita tidak mahu teruskan kerana apa yang berlaku sekarang disebabkan oleh jurang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pra pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M di Seremban, hari ini.

Fuziah berkata, pendekatan kerajaan ketika ini adalah merapatkan jurang semua kaum supaya masyarakat hidup harmoni dan hormat-menghormati agama masing-masing.

“Aduan yang diterima itu adalah untuk melihat krisis yang betul-betul menghina bukan untuk menghukum tetapi untuk memulihkan keadaan.

“Kerajaan pada hari ini menghantar mesej jelas supaya budaya ini (penghinaan agama) tidak menular di kalangan masyarakat dan kita harus duduk sebagai masyarakat berbilang kaum dan hormat-menghormati,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan JAKIM berhubung perhimpunan haram golongan Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT) di ibu negara pada Sabtu lalu, Fuziah berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, meskipun ia bukan di bawah bidang kuasa pihaknya namun beliau kesal dengan tindakan kumpulan itu yang mencemari perhimpunan sambutan Hari Wanita Sedunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 7:01 PM