Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


SUASANA di sekolah menengah di Banting gempar apabila pelajar lelaki cuba membunuh diri dengan memanjat dan berjalan atas bumbung sekolah itu dipercayai akibat masalah percintaan, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 petang itu, remaja berusia 13 tahun berkenaan berjaya diselamatkan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan telefon daripada pengurusan sekolah berkenaan.

“Selepas dipujuk hampir 30 minit, pelajar Tingkatan Satu itu berjaya diselamatkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba.

“Mangsa hanya cedera ringan di lengannya ketika proses menyelamat dan dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di Banting.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pelajar itu mengaku melakukannya kerana kecewa dengan seorang pelajar perempuan lain yang sebaya dengannya.

“Mangsa memaklumkan dia ada berjumpa dengan pelajar perempuan itu semalam dan meluahkan perasaan cintanya namun ditolak.

“Ia berikutan pelajar perempuan itu meminati seorang pelajar lelaki lain. Ia kemudian mengakibatkan mangsa berputus asa dan mengambil keputusan untuk membunuh diri. Satu nota yang menjelaskan tujuannya itu turut ditulis mangsa,” katanya.

Kata Azizan, berdasarkan keterangan guru sekolah itu, mangsa disifatkan seorang pelajar yang baik dan pendiam selain tiada masalah disiplin.

“Polis setakat ini belum menerima sebarang laporan polis oleh pihak sekolah dan ibu bapa pelajar lelaki berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 8:30 PM