Hadzlihady Hassan


BAWA anak untuk mengedar dadah. Itu dilakukan suami bersama bekas isterinya yang dicekup bersama dua lagi rakan mereka ketika menunggu pelanggan membeli dadah di tepi jalan Tingkat Teluk Kumbar, Balik Pulau Isnin lalu.

Serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya itu merampas 664.5 gram heroin dan 407.3 9 (g) syabu bernilai RM87,600.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, dalam serbuan pertama jam 3.30 petang, polis menahan semua suspek yang berada dalam Kia Sephia di kawasan parkir tepi jalan dipercayai menunggu pelanggan.

“Dalam serbuan itu, kita menemui beg hitam mengandungi 17 plastik lut sinar berisi heroin 214.5 (g) dan empat plastik mengandungi syabu seberat 100.7 (g).

“Susulan itu, kita menyerbu sebuah rumah di Kampung Jawa, Perai jam 10 malam dan menemui 450 (g) heroin serta 306.6 (g) syabu,” katanya pada sidang media hari ini.

Anbalagan berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia 42 tahun dan juga perancang utama membawa bekas isteri serta anak lelakinya berusia 13 tahun yang masih belajar untuk mengedar dadah dipercayai mahu mengaburi pihak berkuasa.

“Lelaki terbabit didapati sudah bercerai sejak dua tahun lalu namun dia dipercayai masih berhubung dengan bekas isterinya untuk menjalankan aktiviti mengedar dadah manakala anak mereka pula dibawa bersama untuk mengaburi polis.


Anbalagan (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di IPD Barat Daya. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

“Bekas isterinya yang berusia 33 tahun itu bekerja di sebuah kilang dan rumah di Perai yang diserbu polis adalah milik wanita terbabit dan ia dijadikan sebagai lokasi untuk menyimpan bekalan dadah,” katanya.

Menurutnya, dua lagi suspek masing-masing lelaki berusia 45 serta 37 tahun yang turut ditahan ketika berada dalam kereta terbabit dikesan baru dibebaskan dari penjara.

“Semua suspek iaitu tiga lelaki dan wanita berkenaan didapati memiliki rekod kesalahan lampau berhubung kes dadah dengan seorang daripadanya turut dikehendaki polis.

“Ujian air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah manakala wanita pula bebas daripada sebarang pengaruh dadah,” katanya.

Menurutnya, remaja lelaki yang ditahan itu pula didapati turut bebas daripada sebarang pengaruh dadah dan dia dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dijaga.

“Semua empat suspek direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 2:40 PM