Penganggur direman empat hari untuk membantu siasatan kes curi petai. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin
Hanneeyzah Bariah Baharin


SELEPAS sembilan hari menghilangkan diri, lelaki disyaki mencuri petai di kebun jirannya di Kampung Lingai, Batu Rakit, Kuala Nerus, 4 Mac lalu, ditahan polis hari ini.

Lelaki berusia 20-an itu ditahan jam 1 pagi tadi di tepi jalan di kampung sama oleh anggota polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Sumber berkata, dalam kejadian 1.30 tengah hari 4 Mac lalu, suspek dipercayai mencuri petai di kebun penduduk dikenali ‘Haji Din’ di kampung itu.

Katanya, kegiatan suspek disedari beberapa penduduk setempat sebelum memaklumkan kepada jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Jawatankuasa MPKK bersama penduduk kemudian bergegas ke lokasi bersama pemilik kebun dan ternampak suspek yang dikenali sedang mencuri petai.

“Suspek yang panik sebaik menyedari kehadiran penduduk kampung melarikan diri bagi mengelak dicekup dan meninggalkan motosikal Honda Wave biru di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan di dalam bakul motosikal suspek menemui beberapa papan petai dipercayai dicurinya di kebun itu,” katanya.

Sementara itu, susulan penahanan itu suspek kini ditahan reman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/ Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 5:11 PM