GOLONGAN asnaf mengambil buah-buahan sambil dibantu sukarelawan selepas pelancaran Food Bank JAWI di Masjid Jamek Sultan Abd Samad. FOTO Rosdan Wahid
GOLONGAN asnaf mengambil buah-buahan sambil dibantu sukarelawan selepas pelancaran Food Bank JAWI di Masjid Jamek Sultan Abd Samad. FOTO Rosdan Wahid
Yusmizal Dolah Aling


SATU inisiatif untuk membantu ummah dikenali Food Bank For Ummah akan diperkenalkan bagi meringankan beban mangsa bencana di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, ia akan diaktifkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan rakan strategik lain dalam usaha mewujudkan negara Rahmah di Malaysia.

Katanya, menggunakan bekas khas yang boleh menjadikan makanan tahan lebih lama, ia dijangka memberi kemudahan kepada penerima untuk menggunakannya tanpa perlu dimasak seperti biasa.

“Mungkin selepas ini YaPEIM boleh buat projek Food Bank For Ummah ini untuk bantu mangsa bencana. Menggunakan bekas khusus untuk simpan makanan, hanya perlu rendam saja untuk masak.

“Ia boleh digunakan untuk mangsa gempa bumi, tanpa sejuk beku. Di sini mungkin kita akan kerjasama dengan hotel yang boleh membekalkan makanan sudah siap atau pun ada restoran yang boleh kita pek terus.

“Inilah konsep Rahmah yang kita hendak terjemahkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Food Bank JAWI di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pengarah YaPEIM Datuk Abibullah Samsudin.

Mengulas program Food Bank JAWI, Fuziah turut menyifatkannya sebagai unik kerana berpaksikan masjid dan menjadikan rumah Allah sebagai pusat untuk membantu golongan asnaf.

“Food Bank ini dia ada barang yang tak tahan lama dan sudah sampai tarikh luput. Contohnya makanan segar, ada pasar raya yang ada tarikh luput dan selalunya mereka turunkan daripada rak mereka sehari sebelum.

“Jadi dalam masa yang singkat kita perlu ambil barang itu dan agihkan ke rumah asnaf. Kita alu-alukan syarikat yang ingin menjalankan tanggungjawab sosial korporat dalam program ini.

“Kita juga alu-alukan jika ada yang ingin menyumbang kenderaan sejuk beku bagi mengelakkan barang-barang itu rosak.

“Sebelum ini di Pulau Pinang sudah ada inisiatif begini dan setakat ini maklum balas daripada semua pihak adalah positif dan kami harap usaha ini dapat membantu mereka yang memerlukan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 7:33 PM