Mohd Sabran Md Sani dan Mary Victoria Dass


KERAJAAN negeri Johor tidak perlu mengisytiharkan darurat disebabkan pencemaran akibat pembuangan sisa toksik secara haram di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, kerana keadaan masih terkawal.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, pada masa sama, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas bagi menjalankan siasatan terperinci termasuk aspek forensik dalam kes itu.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati radius pencemaran udara menjangkau kawasan seluas 15 kilometer dari sungai berkenaan akibat pengewapan, angin kencang dan hujan.

“Kawasan terbabit masih selamat dan usaha digiatkan bagi membersihkan sisa toksid berkenaan.

“Buat masa ini, kerajaan negeri melantik dua lagi kontraktor menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tiga kontraktor untuk membersihkan kawasan tercemar.

“Kerajaan negeri turut meluluskan peruntukkan kecemasan berjumlah RM 6.4 juta bagi kerja pembersihan dan bantuan kepada mangsa yang terjejas,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengurusan negeri di Menara Aqabah, Pasir Gudang, hari ini.


OSMAN (tengah) melawat mangsa yang mendapatkan rawatan kecemasan dipercayai terhidu gas kimia berbahaya di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Sementara itu, Dr Dzulkefly mengesahkan tiada kematian dilapor tidak seperti yang ditularkan netizen sebelum ini.

Katanya, seramai 506 penduduk mendapatkan rawatan awal akibat terhidu pencemaran bahan kimia berkenaan.

“Daripada jumlah itu seramai 166 mangsa dimasukkan ke wad manakala sembilan mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Enam pasukan perubatan dari Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) ditempatkan dua pusat rawatan awal bagi membantu penduduk terjejas.

“Kami menasihatkan orang ramai memakai topeng R-95 bagi mengelak terhidu pencemaran dan bukannya N-95,” katanya.

Sementara itu, Yeo berkata, pelbagai peralatan canggih akan dibawa oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Meteorologi bagi membantu memantau kadar pencemaran di Pasir Gudang.

“Peralatan canggih ini akan membolehkan pasukan membaca tahap pencemaran dibuat secara terus dan tiupan angin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:27 PM