TULAR palsu di laman sosial mendakwa pelajar sekolah, Affza Balqis Ahmad Sahrel maut akibat gas beracun hari ini.
Mary Victoria Dass


"TOLONG hentikan tular tidak benar. Alhamdulillah, adik (Affza Balqis Ahmad Sahrel, 14) masih hidup, dia semakin sihat di depan mata saya," kata Noor Atikah Daud, 47, ibu kepada remaja yang didakwa mangsa pertama maut akibat pencemaran gas toksik berpunca dari Sungai Kim Kim, Khamis lalu.

Noor Atikah berkata, sehingga kini dia tidak pasti siapa yang menyebar berita menyatakan Affza Balqis atau panggilan manjanya, adik, menjadi korban pertama pencemaran gas kimia di negeri ini.

"Apa pun, semua itu tidak penting bagi saya kerana anak saya di depan mata dan keadaannya semakin pulih.

"Alhamdulillah, dia sudah sedarkan diri tengah hari tadi dan tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan mulai jam 4 petang walaupun masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Kami amat bersyukur dengan keadaannya dan berharap dia semakin pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa. Walaupun ada yang menyebar berita palsu, saya yakin ramai netizen mendoakan dia sembuh," katanya.

Noor Atikah berkata, beberapa saudara yang pada awalnya turut tertipu dengan tular palsu itu, kemudiannya berusaha membetulkan fakta di media sosial termasuk WhatsApp.

Menurutnya, keluarganya bagaimanapun tidak mahu membuang masa menyiasat perkara itu atau terjejas dengan kekeliruan yang timbul sebaliknya mahu memberi perhatian kepada kesihatan adik dan mendoakan cepat sembuh.

Noor Atikah berkata, dia masih belum bertemu dengan doktor bagi mengetahui keadaan anaknya.

Menurutnya, bagaimanapun dia yakin keadaan anaknya semakin pulih dan kian stabil.

"Saya tidak dapat menghalang mereka yang menyebarkan berita ini namun saya harap selepas ini mereka mendapatkan kepastian dahulu sebelum memuat naik sebarang maklumat.

Affza Balqis adalah salah seorang daripada lebih 260 mangsa terbaharu pencemaran gas metana yang dirawat di hospital semalam.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:40 PM