JOHOR BAHRU 20 NOVEMBER 2017 Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi Johor Bahru. NSTP/ZAIN AHMED


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah supaya Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengenal pasti beberapa perkara dalam menangani isu pencemaran sisa kimia.

Sultan Ibrahim bertitah, jawatankuasa itu perlu merangka satu prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi semua pihak bagi memastikan kejadian sama tidak berulang di Johor.

“Perkara lain yang perlu diutamakan adalah pembangunan sistem amaran awal sekiranya berlaku pencemaran udara mahupun air.

“Dengan adanya sistem berkenaan, sekiranya berlaku apa-apa pencemaran sama ada di udara atau air, pihak berkuasa dapat memberi amaran awal kepada penduduk.

“Pada masa sama, penduduk juga dapat membuat persiapan awal manakala pasukan kecemasan atau pihak berkuasa dapat bergerak lebih awal,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan berangkat ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk melawat mangsa pencemaran sisa kimia yang masih mendapatkan rawatan.

Sultan Johor bertitah, demi mengutamakan keselamatan rakyat, baginda berkenan mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM1 juta.

“Oleh demikian, saya mahu jawatankuasa khas diwujudkan segera dan memberi penekanan kepada perkara yang saya tegaskan sebelum ini,” titahnya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 1:18 PM