GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


GURU sekolah memandu dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan pelajarnya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Faris Johar, 27, turut didenda RM4,000 atau 10 bulan penjara, jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Noor Aisyah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah, mencabul kehormatan wanita berusia 22 tahun (ketika kejadian), dalam kereta di hadapan pusat latihan memandu di Jalan Adda Height di Johor Bahru, kira-kira 3 petang, 30 April 2017.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Selepas hukuman dijatuhkan, peguam Iskandar Shah Ibrahim dan R Subash yang mewakili tertuduh memohon untuk penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya itu.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu atas bantahan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali.

Perbicaraan berjalan sejak 2017 dengan tiga saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 3:10 PM