Kakitangan Jabatan Kesihatan menunjukkan makanan haiwan yang digunakan untuk memekatkan sos di sebuah kilang memproses mi, kuetiau dan sos cili di Diamond Valley Industrial Park, Permatang Damar Laut, Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkifli
Zuhainy Zulkiffli


KILANG memproses mi, kuetiau dan sos cili di Permatang Damar Laut dekat sini, diarah tutup selama 14 hari selepas didapati menggunakan makanan haiwan sebagai bahan dalam sos.

Perbuatan jijik di kilang itu dibongkar ketika pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Kesihatan Pulau Pinang bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam Operasi Penang Sihat di Diamond Valley Industrial Park, hari ini.

Ketua Unit Inpektorat dan Perundangan JKN Pulau Pinang Syazwani Ab Khalid berkata, pihaknya juga menemui najis tikus di beberapa bahagian premis selain didapati tidak menggunakan kaedah pengasingan bahan kitar semula.

Menurutnya, premis berkenaan diberi notis penutupan dan kompaun sebanyak RM250, ia juga kali kedua premis itu diperiksa sejak tahun lalu.

“Kami menjumpai beberapa guni mengandungi makanan haiwan yang direbus dan dicampurkan dengan serbuk cili bagi memekatkan sos.

“Pemilik premis juga dinasihatkan supaya menggantikan penggunaan makanan haiwan itu dengan kacang dal bagi memekatkan sos selepas ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Operasi yang dijalankan di lima lokasi sekitar Barat Daya itu membabitkan seramai 135 anggota Jabatan Kesihatan, MBPP dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Operasi itu membabitkan pemeriksaan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985, Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Di lokasi berasingan, sebuah kilang memproses otak udang di Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau turut diarah tutup selama 14 hari berikutan keadaan kilang yang tidak memuaskan.

Menurut Syazwani, dua pekerja di situ juga tidak menerima suntikan typhoid selain terdapat kesan najis tikus di sekitar premis.


Penguat kuasa Jabatan Kesihatan menjumpai najis tikus di kilang membuat otak udang di Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau. FOTO Zuhainy Zulkiffli

“Persekitaran dan struktur kilang terbabit amat tidak memuaskan dengan keadaan longkangnya juga terlalu kotor, malah ketika diperiksa didapati bahan makanan diletakkan di atas lantai.

“Kilang ini sudah lebih tujuh kali diperiksa, malah pernah dua kali menerima notis penutupan dan ini adalah kali ketiga diarah berbuat demikian sejak 2010,” katanya.

Pemilik premis terbabit juga dikenakan kompaun sebanyak RM280 oleh MBPP bagi semua kesalahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 5:00 PM