Nurul Hidayah Bahaudin dan Sharul Nazri Zulkifli Chow


RAIH keuntungan bersih mencecah RM300,000 sebulan. Itu hasil pendapatan diraih sindiket judi dalam talian yang menyasarkan pemain dari Indonesia.

Bagaimanapun helah sindiket terbabit yang dipercayai aktif sejak enam bulan lalu terbongkar dalam serbuan di sebuah bangunan pejabat di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul membuat serbuan di lokasi terbabit kira-kira jam 2 pagi.

“Dalam serbuan itu, kami menahan 14 lelaki warga Indonesia berusia antara 21 hingga 33 tahun yang terbabit kegiatan judi dalam talian.

“Kami turut merampas 15 komputer, tujuh komputer riba, 110 telefon bimbit, 144 alat kawalan jauh Kod Pengesahan Transaksi, tiga router dan empat modem,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dengan menjadikan premis di tingkat tiga bangunan pejabat berkenaan sebagai pusat operasi.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati sindiket itu mempromosikan kegiatan mereka melalui laman web untuk pemain di Indonesia. Semua transaksi bagi permainan judi dalam talian berkenaan dalam mata wang rupiah.

“Siasatan lanjut juga mendapati sindiket terbabit meraih nilai pertaruhan berjumlah RM1.5 juta sebulan dengan keuntungan bersih dianggarkan RM300,000 setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah direman selama 14 hari bermula 12 hingga 26 Mac ini mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kegiatan judi dalam talian di sekitar ibu kota diminta menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan Khas 24 jam Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur di talian 03-21460670,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:34 PM
MAZLAN menunjukkan peralatan judi yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aswadi Alias