MANGSA maut selepas jatuh dari tingkat atas bangunan pangsapuri di Prima Kepong, Kuala Lumpur, dipercayai akibat membunuh diri, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


MAYAT seorang lelaki ditemui dalam keadaan seluarnya terlondeh selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas sebuah pangsapuri di Prima Kepong, Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.37 petang tadi.

“Sebaik tiba di lokasi berhampiran taman permainan, kami menemui mayat seorang lelaki berusia lingkungan 20-an di lokasi itu.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, lelaki itu dikatakan jatuh dari tingkat atas bangunan pangsapuri berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan bagi menentukan sama ada ia akibat bunuh diri atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 9:10 PM