MOHD Asna bersama barisan tenaga pengajar Kolej Antarabangsa Unifield. -Foto NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


NILAI: Kolej Antarabangsa Unifield (UIC) kampus Nilai, Pajam, bekerjasama dengan Yayasan Pendidikan Bumiputera (YPB) menyediakan biasiswa khas bagi memberi pendidikan terbaik untuk penuntutnya.

Pengarah Urusannya, Mohd Asna Amin berkata, antara bantuan ditawarkan adalah yuran pendaftaran, pembiayaan asrama, pengangkutan dan biasiswa sara diri RM200 selama 20 bulan, bagi yang berkelayakan.

Katanya, bagi graduan Diploma Syariah Islamiah yang cemerlang, penuntut berpeluang menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universitas Negeri Medan dan Universitas Islam Negeri Sulthan Thaha Saifudin, Indonesia.

“Bagi graduan Diploma Kejururawatan, kami (UIC) menawarkan program bekerja di Jerman dan hospital swasta dalam negara,” katanya sambil memberitahu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pinjaman Affin Bank turut ditawarkan.

Katanya, UIC menawarkan pelbagai program pengajian dua hingga tiga tahun, setaraf universiti tempatan dan mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“UIC bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaya (UM) dengan semua sijil dikeluarkan dan konvokesyen berlangsung di universiti itu. Lebih utama yuran pengajian murah, pinjaman dan tajaan disediakan kepada penuntut yang cukup kelayakan,” katanya.

Menurutnya, antara jurusan ditawarkan adalah Diploma Perakaunan, Diploma Sains Komputer, Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pengurusan Hartanah. Dalam pelbagai jurusan, Diploma Seni Kulinari dan Pengurusan Hotel mendapat permintaan paling tinggi apabila 90 peratus graduan mendapat kerja.

“Kolej menyediakan kemudahan pengajian lengkap, capaian wifi percuma, kawalan keselamatan 24 jam dan asrama lelaki dan perempuan diasingkan. Kami amat menitikberatkan unsur kerohanian agama apabila pengajian dimulakan dengan bacaan hadis dan surah pilihan,” katanya.

Menurut Mohd Asna, pihaknya mewujudkan program khas iaitu Tilawah Al-Quran dan Fardu Ain (TAFA) yang menghendaki penuntut menghafal surah lazim, surah Al Mulk, Al Waqiah dan Al-Sajdah sebelum menamatkan pengajian. Tujuannya membentuk graduan sebagai imam.

“UIC juga memberi keutamaan aktiviti kokurikulum dan penuntut mengikuti program beruniform layak menerima elaun. Syarat kemasukan UIC adalah lulus tiga kredit (SPM) dan mereka diberi latihan dan kelulusan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk berdaya saing,” katanya.

Katanya, UIC bekerjasama dengan universiti terbaik Indonesia bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda selama 18 bulan berbanding tiga tahun dalam negara.

“Kolej kami yang memiliki 3,000 penuntut diiktiraf sebagai kolej cemerlang antara pusat kerjasama UTM, gred A bagi kolej bersekutu oleh UiTM, kolej pertama terpilih sebagai pusat pembelajaran UM dan melahirkan graduan cemerlang paling ramai antara kolej kerjasama UTM.

“UIC komited melahirkan graduan berdaya saing di semua sektor pekerjaan dan melahirkan 10,000 graduan bekerja sepanjang 22 tahun beroperasi,” katanya memaklumkan sebarang pertanyaan kemasukan boleh melayari www.uic.edu.my atau hubungi talian 013-6665135.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 7:00 AM