DR Wan Azizah.
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM45 juta lagi untuk program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) fasa seterusnya yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 wanita yang mendaftar sehingga 30 Jun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata seramai 84,143 suri rumah dan wanita sudah berdaftar di bawah program i-Suri Fasa 1 yang dilaksanakan pada 15 Ogos 2018 hingga 28 Februari lalu.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama-sama rakan strategik seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sudah melaksanakan promosi untuk i-Suri dan berusaha memastikan mereka yang layak tidak terpinggir dan menerima kemudahan ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang meminta penjelasan mengenai jumlah mereka yang mendaftar dengan program i-Suri.

Menurutnya, kesukaran melaksanakan program menemui individu yang layak tetapi berada di kawasan terpencil antara masalah yang dihadapi kementerian dalam melaksanakan program itu.

“Sehubungan itu, KWSP bersama rakan strategik sudah menggerakkan pasukan bergerak (mobile team) ke lokasi terpencil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 8:01 AM