WANITA warga emas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) disyaki cuba menyeludup keluar lapan tong gas petroleum cecair (LPG) dalam 'Op Landai' di Jalan CIQ lama, Tawau. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan wanita warga emas kerana disyaki cuba menyeludup keluar lapan tong gas petroleum cecair (LPG) di Jalan CIQ lama di Tawau, semalam.

Suspek berumur 66 tahun itu ditahan sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) menerusi ‘Op Landai’ selepas didapati dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada 7.45 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan pacuan empat roda dipandu suspek menemui lapan tong gas LPG, setiap satu seberat 14 kilogram (kg) yang disembunyikan di ruang belakang kenderaan.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Suspek juga secara lisan mengaku membawa keluar tong gas LPG itu untuk dijual di Pulau Sebatik di Indonesia,” katanya, hari ini.

Mohd Pajeri berkata, pihaknya turut merampas kenderaan digunakan suspek dengan nilai nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM81,440.

“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:25 AM