Lelaki terjatuh di Jambatan Darul Hana yang hampir meragut nyawanya. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


TINDAKAN lelaki memanjat pagar keselamatan Jambatan Darul Hana, Kuching untuk berswafoto nyaris meragut nyawanya selepas tergelincir lalu terjatuh ke Sungai Sarawak malam tadi.

Sumber berkata, kejadian 8.50 malam berlaku ketika mangsa mahu merakam gambarnya di atas jambatan ikonik itu dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah bandar raya Kuching.

Difahamkan, kejadian disedari orang ramai yang mengunjungi jambatan pejalan kaki itu yang menghubungkan Tebingan Kuching dan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebelum bergegas menghulurkan bantuan.

“Lelaki berusia 36 tahun itu yang berasal dari Miri bernasib baik apabila diselamatkan pengusaha perahu tambang yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

“Difahamkan mangsa cuba memanjat pagar untuk bergambar, namun tergelincir lalu terjatuh ke sungai dari paras ketinggian kira-kira 10 meter,” katanya ditemui di Tebingan Kuching hari ini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 9 malam.

Bertindak atas maklumat itu, 10 anggota termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi namun lelaki itu sudah diselamatkan orang awam.

“Mangsa diberi rawatan awal oleh Unit EMRS sebelum pasukan perubatan tiba di lokasi.

“Mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh pihak perubatan untuk rawatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Kejadian itu kali kedua berlaku sejak jambatan berkenaan dibuka kepada orang ramai pada November 2017.

Pada 14 Mei 2018, pelajar lelaki ditemui lemas selepas terjatuh di kawasan tengah jambatan berkenaan ketika bermain bersama beberapa rakannya jam 8 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 11:18 AM