VIDEO tular yang menunjukkan terdapat tikus dalam gayung penceduk lauk di restoran di Tampoi, dekat Johor Bahru. FOTO Tular
VIDEO tular yang menunjukkan terdapat tikus dalam gayung penceduk lauk di restoran di Tampoi, dekat Johor Bahru. FOTO Tular
Mohd Sabran Md Sani


JIJIK dan memualkan. Demikian yang dapat dilihat menerusi video tular berdurasi 29 saat yang memaparkan tikus dalam gayung penceduk lauk di restoran di Tampoi, dekat Johor Bahru.

Video yang tular sejak 13 Mac itu menunjukkan terdapat dua gayung di atas periuk besar yang mana satu daripada gayung terbabit dimasuki tikus.

Difahamkan, video terbabit dirakam pelanggan restoran terbabit sehingga dikongsi sebanyak 3,100 kali di sosial media dan menerima pelbagai reaksi netizen.

Selain rata-rata netizen merasa mual dengan situasi berkenaan, ada juga yang berjenaka dengan dipetik berkata, “boleh pula main cak-cak ya encik tikus.”

Malah, ada yang bimbang dan mendakwa perkara itu boleh mengundang pelbagai penyakit termasuk penyakit kencing tikus.

Difahamkan, insiden sama pernah berlaku dan dirakam di restoran sekitar Tampoi pada 2017.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz ketika dihubungi akan menyiasat mengenai kejadian itu dan notis pembersihan akan dikeluarkan bagi memastikan restoran itu memenuhi aspek kebersihan ditetapkan.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan menghantar pasukan khas bagi menyiasat serta memeriksa premis itu.

“Kakitangan kami mempunyai kepakaran dalam mengesan kehadiran tikus dan jika ada tanda-tanda kehadiran tikus ia sudah menunjukkan premis itu kotor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 11:34 AM