Shamsul Munir Safini


TIDAK mahu membayar hutang, seorang wanita sanggup membuat laporan palsu kononnya dia disamun lelaki bermotosikal di Bandar Perda, Bukit Mertajam minggu lalu.

Bagaimanapun, wanita berusia 21 tahun itu diberkas polis selepas keterangannya didapati bercanggah dengan laporannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, berdasarkan laporan yang dibuat wanita itu, dia mendakwa disamun sebaik mengeluarkan wang di sebuah bank di Bandar Perda.

Menurutnya, wanita itu mendakwa ketika menuju ke motosikalnya di kawasan berdekatan, seorang lelaki meragut begnya yang diletakkan di pemegang motosikal.

“Wanita itu mendakwa lelaki terbabit berjaya mencuri begnya sebelum melarikan diri dengan motosikal.

“Siasatan mendapati laporan yang dibuatnya mencurigakan selepas semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu dilakukan,” katanya.

Menurutnya, polis kemudian menahan suspek di Bandar Cassia, Simpang Ampat.

Katanya, hasil soal siasat mendapati, wanita berkenaan membuat laporan palsu kerana gagal membayar wang milik rakannya berjumlah RM2,000.

Nik Ros Azhan berkata, suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 4:06 PM