POLIS mengawal di kawasan sekitar Masjid Al Noor. FOTO AFP. Gambar kecil (uhammad Habibullah)
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Suraya Roslan


“TEMBAKAN berlaku selepas azan pertama Solat Jumaat, kira-kira jam 1.40 tengah hari (waktu New Zealand) iaitu ketika orang ramai mula memasuki Masjid Al Noor.

“Jika penembak itu memasuki masjid ketika jemaah sedang menunaikan solat, pasti lebih ramai yang akan terkorban kerana masjid itu boleh memuatkan lebih 500 orang pada sesuatu masa,” kata pelajar Malaysia di Christchuch, Abdul Azim Shafi Rushdi, 21.

Ketika kejadian, penuntut tahun tiga jurusan kejuruteraan kuasa elektrik, Universiti Canterbury, itu sedang menunggu untuk solat Jumaat di surau di universitinya yang terletak kira-kira empat kilometer dari Masjid Al Noor.

Kata Abdul Azim, dia mendapat tahu mengenai insiden tembakan itu menerusi rakannya dan tidak lama kemudian pihak universiti mengumumkan penutupan sementara operasi sebelum pelajar dibenarkan pulang iaitu kira-kira empat jam kemudian.

Katanya, mujurlah ketika kejadian berlaku, tiada penuntut Malaysia yang berada di dalam masjid berkenaan dan dua rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden itu masing-masing sudah bekerja.

“Saya mengenali rapat salah seorang daripadanya (Rahimi Ahmad, 39) kerana dia sering menjemput penuntut Malaysia di universiti ini makan di rumahnya.

“Kejadian itu sememangnya mengejut semua pihak kerana Islamofobia tidak pernah berlaku di New Zealand sebelum ini dan negara ini juga adalah antara negara paling selamat di dunia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Abdul Azim yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Pelajar Muslim Universiti Canterbury berkata, pihak Education Malaysia New Zealand (EMNZ) dan pejabat konsulat Malaysia turut mengemaskini perkembangan kejadian itu kepada semua rakyat Malaysia di sana.

“Selain itu, semua pelajar juga diminta supaya mengikut arahan pihak berkuasa supaya tidak menghampiri lokasi kejadian dan perkembangan daripada pihak universiti masing-masing.

“Kami juga sudah menghubungi keluarga di Malaysia untuk memaklumkan keadaan semasa kerana mereka turut risau selepas mendapat tahu mengenai kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang bekerja di New Zealand, Mohammad Habibullah Md Ali, 26, berkata, ketika ini semua penduduk Islam di New Zealand berasa takut, sedih dan tidak selamat untuk keluar selepas insiden tembakan berkenaan.

Katanya, ketika kejadian dia baru sahaja selesai solat Jumaat di sebuah masjid di Auckland, dan dua kereta polis tiba sebelum bergegas memeriksa keadaan sekeliling.

“Mereka memeriksa pintu masuk serta melawat sekeliling masjid. Salah seorang pegawai polis meminta jemaah supaya naik ke tingkat dua masjid itu sekiranya ada serangan berlaku dan menghubungi segera pihak berkuasa.

“Kami diberitahu, semua masjid di seluruh New Zealand kini berada dalam kawalan keselamatan polis dan penduduk Islam juga diminta sentiasa berjaga-jaga,” katanya.

Berita berkaitan

"Meremang bulu roma saya"

[UPDATE] 49 sudah terbunuh

'Jangan kongsi video tembak'

'Saya hanya nak suami selamat'

[UPDATE] Tiada rakyat kita maut setakat ini

[UPDATE] 40 maut, lebih 20 cedera

Azmin kutuk kejadian tembakan rambang

Wajah pengganas

'Suami biasa solat di masjid itu'

[UPDATE] Seorang rakyat kita cedera

Periksa rakan dan ahli keluarga di Christchurch

Tembakan dalam masjid di New Zealand

Siar serangan secara langsung

Peluru lintas kepala

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 5:48 PM