GAMBAR Mohd Nazri bersama keluarga. FOTO Ihsan Keluarga
GAMBAR Mohd Nazri bersama keluarga. FOTO Ihsan Keluarga
Iskandar Shah Mohamed dan Siraj Mohd Zaini


“APA yang pasti suami cedera teruk, namun saya tidak tahu sama ada dia masih sedarkan diri atau sebaliknya.

“Ketiga-anak kami yang selamat kini dalam keadaan trauma dan ketakutan akibat insiden itu,” kata Zurinawati Mohi, 48.

Dia adalah isteri seorang rakyat Malaysia, Mohd Nazri Hisham Omar, 46, yang parah dalam kejadian tembakan secara rambang di Masjid Al-Noor, Christchurch, New Zealand, hari ini.

Zurinawati yang juga Pensyarah Fakulti Perhotelan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu sejurus tiba di Hatyai, Thailand atas urusan kerja, kira-kira jam 12 tengah hari ini.

“Selepas tiba di sempadan negara itu, saya terkejut apabila menerima panggilan daripada seorang rakan sekuliah kami di New Zealand memberitahu mengenai insiden berkenaan.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya segera menghubungi suami dan tiga anak namun tidak berjawab. Tidak lama kemudian, seorang daripada anak menghantar kiriman WhatsApp memberitahu keadaan mereka di sana termasuk suami yang cedera,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, suaminya menetap di Christchurch sejak Januari lalu dan bekerja di negara itu sambil menjaga tiga anaknya.

“Ketika kejadian, ketiga-tiga anak iaitu Muhammad Haqiem Daniel, 17; Muhammad Hazieq Daniel, 13, dan Muhammad Hazriq Daniel, 9, berada di sekolah berdekatan lokasi kejadian,” katanya.

Kata Zurinawati, dia bersama anak sulungnya, Muhammad Haiqal Daniel, 19, akan pergi ke New Zealand secepat mungkin untuk melihat keadaan suami dan tiga anaknya.

“Namun, saya terlebih dulu pulang ke rumah kami di Shah Alam dan akan bertolak menerusi penerbangan di Singapura esok.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan mengharapkan doa rakyat Malaysia mengiringi kami sekeluarga,” katanya.

Berita berkaitan

Tembakan selepas azan pertama

"Meremang bulu roma saya"

[UPDATE] 49 sudah terbunuh

'Jangan kongsi video tembak'

'Saya hanya nak suami selamat'

[UPDATE] Tiada rakyat kita maut setakat ini

[UPDATE] 40 maut, lebih 20 cedera

Azmin kutuk kejadian tembakan rambang

Wajah pengganas

'Suami biasa solat di masjid itu'

[UPDATE] Seorang rakyat kita cedera

Periksa rakan dan ahli keluarga di Christchurch

Tembakan dalam masjid di New Zealand

Siar serangan secara langsung

Peluru lintas kepala

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 6:10 PM