ASLAM hilang tanpa berita sejak 10 Mac lalu.
Norizuan Shamsuddin


WANITA memohon bantuan orang ramai untuk mengesan suaminya, yang hilang sejak 10 Mac lalu, selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Indera Mahkota 8, Kuantan, Pahang.

Nurjannah Ngatiman, 28 berkata, dia bimbang dengan keadaan suaminya, Aslam Nasiruddin, 28, kerana sehingga kini tidak dapat dihubungi.

“Dia (suami) keluar rumah awal pagi tanpa maklumkan apa-apa kepada saya.

“Saya sedar dari tidur dia sudah tiada di rumah. Sehingga sekarang suami gagal dikesan membuatkan saya serta keluarga bimbang mengenai keselamatannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurjannah berkata, suaminya keluar dari rumah mereka kira-kira 5.30 pagi sehelai sepinggang dengan memandu kereta Perodua Kancil.

“Sudah puas saya dan keluarga berusaha mencarinya tetapi gagal. Malah, talian telefon bimbitnya sehingga kini gagal dihubungi,” katanya.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, sebelum menghilangkan diri suaminya yang bekerja sebagai doktor pelatih di sebuah hospital di negeri itu didapati menghantar notis permohonan berhenti kerja dalam tempoh 24 jam kepada majikannya, 8 Mac lalu.

“Dia ada memaklumkan mengalami tekanan dengan tugasnya. Bagaimanapun, dia sudah berhenti kerja dua hari sebelum dia hilang,” katanya.

Susulan kejadian, Nurjannah membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, pada 11 Mac lalu.

Katanya, pihaknya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Aslam dapat membantu menyalurkan kepada keluarganya.

“Kami tidak tahu di mana dia berada dan bagaimana keadaannya. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui Aslam di harap dapat menghubungi saya menerusi talian 013-3199917 atau ahli keluarga 011-20716933 (Kamal),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:04 PM