PASUKAN keselamatan mengangkat mayat warga emas yang rentung dalam kebakaran. (Gambar kecil) Lokasi mayat yang rentung ditemui di ruang tamu. Foto Ihsan Bomba
PASUKAN keselamatan mengangkat mayat warga emas yang rentung dalam kebakaran. (Gambar kecil) Lokasi mayat yang rentung ditemui di ruang tamu. Foto Ihsan Bomba
Hazira Ahmad Zaidi


WARGA emas lelaki yang menghidap angin ahmar rentung dalam kebakaran membabitkan lima rumah setinggan di Kampung Panchor, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 6.15 petang itu mangsa yang maut ialah Ibrahim Ali, 60-an.

Anaknya, Mohd Nur Farizal Ismail, 34, cedera pada lengan ketika cuba menyelamatkan bapanya itu.

Haslizan Yaacob, 31, berkata, suaminya cuba menyelamatkan bapa mentuanya yang ketika kejadian berada bahagian ruang tamu rumah itu.

Bagaimanapun, katanya, usaha suaminya itu tidak berjaya kerana api yang marak dengan pantas.

Menurutnya, ketika kejadian dia di bilik bersama dua anak berusia satu dan enam tahun sebelum diberitahu suaminya supaya keluar dari rumah dengan segera.

“Kami berlari keluar melalui pintu belakang yang bersambung dengan rumah jiran untuk menyelamatkan diri.

“Ayah (bapa mentua) memang tidak boleh berjalan dan hanya terlantar sejak tiga tahun lalu selepas diserang angin ahmar.

“Kami terkilan kerana tidak dapat membantu menyelamatkan ayah kerana api merebak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Haslizan berkata, dia memang berasa tidak sedap hati beberapa hari sebelum ini, namun tidak menyangka ia petanda rumah didiami mereka bukan sahaja hangus, malah turut mengorbankan bapa mentuanya.

Katanya, kejadian kebakaran itu lebih menakutkan kerana rumah di kawasan terbabit terlalu rapat antara satu sama lain menyebabkan ia merebak ke rumah jiran yang lain.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.28 petang.

“Seramai 36 anggota dari tiga balai iaitu balai bomba Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Kota Darul Naim bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Ketika sampai, kami dapati api sudah marak dan seorang warga emas lelaki terperangkap dalam sebuah rumah.

“Kita berjaya memadamkan kebakaran dan mengeluarkan jenazah mangsa untuk dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Manakala, mangsa yang cedera turut dirawat di hospital yang sama,” katanya

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 10:37 PM