Siti Nor Hidayatidayu Razali


“ANAK bongsu memaklumkan kepada saya bahawa dia mahu menjadi anak syurga selepas kami solat Maghrib berjemaah, semalam,” kata Laila Mohd Zazali, ibu kepada Nur Amna Nafeesa Mohd Azni, 5, yang maut dalam kemalangan Kilometer (KM) 1.9 Jalan Machang - Pasir Puteh, dekat simpang Pejabat Tanah Machang, Machang, malam tadi.

Dalam kemalangan 9.50 malam membabitkan motosikal, bas dan lori itu turut mengorbankan suami Laila, Mohd Azni Mohd Zakri, 34, dan anak sulung mereka, Muhammad Aryan Ziqri, 7.

Laila, 31, berkata, suami dan anak-anaknya pergi ke klinik berdekatan dengan menaiki motosikal Demak selepas solat Isyak kerana anak sulung mereka demam dan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 25, mereka terbabit kemalangan.

Katanya, kebiasaan mereka keluar dengan kereta Perodua Kancil pada waktu malam, namun kenderaan itu mengalami kerosakan bateri sejak dua hari lalu.

Menurutnya, tidak sampai satu jam dia mendapat perkhabaran suami dan anak-anak terbabit dalam kemalangan pada 10 malam selepas dimaklumkan oleh adiknya, Zulkar, 29.


LAILAMohd Zazali, 31 dikubur suaminya, Mohd Azni Mohd Zakri, 34 dan anaknya, Muhammad Aryan Ziqri Mohd Azni,7 dan Nur Amna Nafeesa Mohd Azni, 5, yang maut selepas motosikal mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas dan Lori di simpang Pejabat Tanah Machang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Saya terkejut mendengar berita itu dan bergegas ke lokasi kejadian. Saya seperti tidak percaya melihat orang tersayang yang ditutup dengan kain batik terbaring di atas jalan.

“Saya hanya mampu menangis kerana kehilangan suami dan anak-anak dalam masa serentak,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan, di Machang.

Terdahulu jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakat, di sini, pada 7 pagi, hari ini.

Laila berkata, sebelum kejadian suaminya yang ceria dan banyak bercakap, tiba-tiba menjadi pendiam.

“Manakala, dua anak menjadi lebih manja apabila meminta saya meriba mereka,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata, kejadian berlaku apabila bas ekspres yang dalam perjalanan dari arah Machang ke Pasir Puteh untuk menghantar penumpang ke Jerteh, Terengganu melanggar belakang motosikal yang ditunggang tiga beranak itu yang datang dari arah Machang untuk membelok ke kanan.

“Kejadian itu menyebabkan tiga beranak terbabit tercampak ke atas jalan bertentangan, lalu datang lori yang bergerak dari Pasir Puteh menghala ke arah Machang, melanggar ketiga-tiga mangsa.

“Akibatnya mangsa maut di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berita berkaitan

Ajal tiga beranak

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 11:28 AM