KEADAAN lori berkenaan. FOTO Hamzah Osman
KEADAAN lori berkenaan. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


“CUMA lima saat memisahkan saya dan anak daripada maut kerana sebaik melepasi lampu isyarat, tiba-tiba kami dengar bunyi dentuman kuat di belakang,” kata Rosli Fadzil, 48.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, sebuah lori yang mengalami kerosakan brek merempuh paip utama bekalan air, papan tanda jalan, tiang lampu isyarat dan pembahagi jalan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Raya Langkawi-Jalan Ayer Hangat di Langkawi.

Rosli yang kebetulan menunggang motosikal melalui jalan itu kerana dalam perjalanan menghantar anaknya untuk menyertai latihan sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri.

Kakitangan swasta itu berkata, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa, malah pemandu lori hanya mengalami luka kecil di muka, akibat terkena serpihan cermin hadapan lori yang pecah.

“Selepas kejadian, saya memberhentikan motosikal dan pergi bertanya kepada pemandu lori dan dia bagi tahu brek lori dipandunya tak berfungsi ketika menuruni bukit.

“Saya yakin pemandu sudah cuba memperlahankan lori dengan merempuh apa sahaja di tepi jalan bagi mengelak kejadian lebih buruk,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang gagal mengawal kenderaannya berikutan kerosakan sistem brek.

“Ketika kejadian, lori terbabit yang tidak membawa muatan sedang menuruni bukit apabila gagal dikawal sebelum melanggar papan tanda jalan, paip air dan tiang lampu isyarat.

“Pemandu lori berusia 42 tahun juga penduduk tempatan itu hanya mengalami luka ringan, manakala lori yang dipandunya rosak pada rim tayar hadapan dan cermin hadapan pecah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 1:58 PM