JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu kelab malam yang menyajikan GRO warga asing kepada pelanggan di Klang. FOTO Ihsan JIM
JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu kelab malam yang menyajikan GRO warga asing kepada pelanggan di Klang. FOTO Ihsan JIM


PELAYAN pelanggan (GRO) akan mendapat komisyen sebanyak 15 peratus bagi setiap ‘bucket’ minuman keras yang dipesan pelanggan melalui wanita seksi berkenaan.

Bagi memastikan menerima tips yang banyak, GRO di pusat hiburan di Klang, hanya perlu menggoda pelanggan dengan melayan dan menemani pelanggan lelaki berhibur dan menghidangkan minuman keras.

Malah, terdapat juga aktiviti mengalungkan bunga kepada mana-mana GRO yang digemari dengan kadar harga serendah RM10 hingga RM300 sekali gus GRO ini mendapat pulangan beratus ringgit bagi tempoh satu malam.

Semua aktiviti ini terbongkar ketika serbuan Unit Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya di pusat hiburan itu 10 malam kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam pemeriksaan itu, pihaknya menahan seramai 20 wanita warga asing yang terdiri daripada 16 wanita warga Vietnam, tiga wanita warga Thailand, dan seorang wanita warga Myanmar yang menjadi ‘flower mummy’ di premis itu.

“Selain itu, enam warga Malaysia yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita turut ditahan kerana menguruskan dan mempunyai kaitan dengan kelab malam itu. Sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM1,045 turut disita.

“Seramai lima pelanggan yang berada di dalam premis ketika serbuan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, wanita warga asing bekerja sebagai pelayan pelanggan dengan meneman, menghidang minuman keras dan beramah mesra dengan pelanggan untuk mendapatkan tips.

“Setiap ‘bucket’ minuman keras yang dipesan pelanggan melalui GRO, sebanyak 15 peratus akan dibayar sebagai tips kepada wanita GRO. Terdapat juga aktiviti kalung bunga bermula dari harga RM10 hingga RM300 dan persembahan nyanyian serta tarian atas pentas.

“Setiap wanita GRO dipercayai mampu mengaut keuntungan hampir beratus ringgit untuk satu malam dan kami mendapati GRO ini juga mempunyai buku catitan yang mana setiap jualan dan tips harian mereka akan dicatit dalam buku terbabit sebagai rujukan mereka untuk mendapatkan bayaran,” katanya.

Tambah beliau, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATISOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 3:15 PM