Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam lif. FOTO Ihsan Bomba


DUA puluh mangsa yang terkandas dalam lif sebuah hospital di Jalan Universiti, Kuala Lumpur terpaksa diberikan bantuan gas oksigen selepas mereka mengalami sesak nafas.

Sebelum itu lif dinaiki mereka mengalami kerosakan teknikal 12 tengah hari menyebabkannya tersangkut antara tingkat tujuh dan lapan sebelum diselamatkan bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, pihaknya terpaksa memotong kabel pintu lif sebelum menurunkan lif secara manual.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 jam 12.04 tengah hari seterusnya menghantar jentera pemadam (FRT) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai ke lokasi.

“Turut serta bantuan FRT BBP Hang Tuah dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Pantai bersama 15 anggota,” katanya hari ini.

Beliau berkata, setibanya pasukan bomba di tempat kejadian jam 12.14 tengah hari, pihaknya mendapati lif terkandas antara tingkat tujuh dan lapan di salah sebuah bangunan hospital berkenaan.

“Maklumat daripada orang awam, kami dapati dinding sisi kabin di dalam lif tercabut dan pintu lif mengalami kerosakan akibat geseran ketika lif turun.

“Terdapat mangsa mengalami kesesakan nafas dan pihak hospital menyalurkan oksigen dari tong ke dalam lif menggunakan hos.

“Tindakan anggota memotong kabel pintu menggunakan peralatan pemotong hidraulik dan menurunkan lif secara manual.

“Seramai 20 mangsa terdiri daripada tiga kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan, tujuh lelaki dewasa dan enam wanita dewasa diselamatkan anggota,” katanya.

Difahamkan mangsa terperangkap kira-kira sejam sehingga diselamatkan bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 4:31 PM