Pembakaran terbuka di kawasan berhampiran Taman Saujana Permai, Bukit Katil. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Fhatihah Zakinan


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Melaka akan menjalankan siasatan berhubung aduan pembakaran terbuka di kawasan berhampiran Taman Saujana Permai, Bukit Katil hingga menyebabkan penduduk terutama anak kecil sukar bernafas, pedih mata dan sakit tekak.

Pengarah JAS Melaka, Rosli Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai aduan itu dan akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti pemilik tanah seluas 0.8 hektar berikutan menerima dakwaan lain apabila pembakaran dilakukan pada waktu malam.

“Aduan itu sudah disiasat dan ia berasas tetapi tiada siapa di tempat kejadian.

“Siasatan lanjut akan dibuat di pejabat tanah untuk mengenalpasti pemilik tanah dan kompaun akan dikeluarkan,” katanya hari ini.

Rosli berkata, separuh dari kawasan itu sudah ditambak dan terdapat longgokan sisa pokok dibakar selain masih berasap ketika siasatan dijalankan hari ini.

“Kain rentang larangan pembakaran terbuka sudah dipasang di lokasi pembakaran dan siasatan susulan akan diteruskan Isnin ini,” katanya.

Sementara itu katanya, pihaknya menerima 80 kes pembakaran dan 12 kompaun dikeluarkan berhubung pembakaran terbuka setakat ini.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim kering ketika ini.

Katanya, kompaun RM2,000 akan dikenakan bagi individu dan diminta memadamkan pembakaran segera manakala bagi premis atau kilang, kertas siasatan dibuka dan didakwa ke mahkamah mengikut Seksyen 29A atau 29B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan denda maksimum RM500,000.00 atau denda lima tahun penjara.

Sementara itu, penduduk taman berkenaan yang enggan dikenali mendakwa, anak kecilnya yang mengalami lelah mengadu sukar bernafas selepas pembakaran itu berlaku malam tadi dan terpaksa pulang ke kampung bagi mengelakkan bertambah teruk.

“Memang saya sediakan ubat dan pam tetapi saya risau anak batuk dan semput lagi, jadi saya balik ke rumah mak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 9:31 PM