OPERASI mencari dan menyelamat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Jeti Nelayan Sungai Chodan, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


REMAJA lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama adik dan sepupunya di Jeti Nelayan Sungai Chodan di Segamat, petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, mangsa Rafiq Afif Rohaizat, 18, dari Kuala Lumpur dilaporkan mandi bersama adiknya berusia 16 tahun dan sepupu mereka berusia 10 tahun, kira-kira 5 petang.

“Kesemua mangsa yang mandi tiba-tiba tenggelam dalam sungai, namun dua daripada mereka iaitu adik dan sepupu mangsa sempat diselamatkan bapa saudaranya yang kebetulan turut berada di tempat kejadian.

“Mangsa hilang dibawa arus sungai. Usaha mencari mangsa dilakukan sebaik laporan dibuat kira-kira 6 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raub berkata, ketika kejadian air sungai mulai surut menyebabkan perubahan arus sungai.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan 8.30 malam berikutan cuaca semakin gelap, selain keadaan air sungai mulai pasang.

“Misi menyelamat akan diteruskan esok pagi,” katanya.

Terdahulu, empat aset keselamatan membabitkan kenderaan polis dan bomba ditempatkan di lokasi bagi melancarkan operasi SAR, selain menerima bantuan orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 11:21 PM