ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaran membabitkan kira-kira tiga hektar kawasan hutan Bukit Botak di Sepanggar, Kota Kinabalu. FOTO Arkib NSTP
Wan Faizal Ismayatim


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Sabah mengeluarkan 42 amaran bertulis, tiga notis arahan dan sembilan kompaun, selain membuka tiga kertas siasatan berkaitan kes pembakaran terbuka.

Tindakan itu dilaksanakan JAS selepas menggerakkan pasukan rondaan bagi menguatkuasakan larangan pembakaran terbuka sejak pertengahan Januari lalu berikutan musim panas di negeri ini.

JAS Sabah menerusi kenyataan di Kota Kinabalu berkata, pasukan itu diarah melakukan rondaan pada hujung minggu dan selepas waktu pejabat di kawasan dikenal pasti berlaku banyak pembakaran terbuka.

“Kompaun serta-merta kepada sesiapa yang melakukan pembakaran terbuka. Sebarang rayuan tidak akan dipertimbangkan bagi semua kompaun yang dikeluarkan dalam tempoh ini.

“Pihak JAS juga sedang mengenalpasti pemilik kawasan tanah yang terbakar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bermula malam kelmarin, dua stesen pemantauan kualiti udara JAS iaitu stesen Kota Kinabalu dan Kimanis mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat iaitu IPU melebihi 100.

Menurut kenyataan itu, ia berpunca dari kebakaran di kawasan belukar berikutan cuaca panas dan kering yang melanda di kebanyakan kawasan di negeri ini.

Antara kawasan terbakar ialah bukit Indah Permai seluas dua hektar, Bukit Sepanggar (empat hektar), Kampung Kauluan di Tuaran (enam hektar), belakang Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu dan belakang Taman Putera Perdana, masing-masing seluas enam hektar.

Bagi stesen Kimanis, kebakaran belukar di beberapa kawasan di sepanjang jalan dari Bongawan-Kimanis-Papar sejak awal semalam menyebabkan peningkatan IPU di kawasan berkenaan.

“Walaupun api di kebanyakan kawasan itu sudah padam, namun ia masih berasap,” katanya.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, keadaan kini berada di peringkat amaran awal yang mana semua jenis pembakaran terbuka dilarang sama sekali.

“Orang ramai dinasihat mengurangkan aktiviti luar rumah, menghentikan aktiviti luar bilik darjah bagi murid dan disarankan semua aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan ditangguhkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 9:14 AM