KERJA pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim pada 15 Mac lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


HANYA berbaki 200 meter lagi kawasan Sungai Kim Kim di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang yang tercemar dan perlu dibersihkan.

Sehingga petang semalam, 1.3 kilometer (km) daripada 1.5 km kawasan yang tercemar sudah dibersihkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, kerja pembersihan berjalan lancar dan dilakukan tanpa henti sejak bermula, Rabu lalu.

“Baki 200 meter akan diselesaikan dalam selewat-lewatnya satu hingga dua hari akan datang.

“Sebanyak 550 metrik tan tanah tercemar dan enap cemar serta 700 metrik tan air tercemar dikumpulkan sehingga 4 petang semalam, ” katanya dalam satu kenyataan media di Pasir Gudang, hari ini.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, 143 mangsa berbanding 154 mangsa (semalam) masih mendapatkan rawatan di wad hospital dengan tujuh pesakit masih dirawat di Unit Rawatn Rapi (ICU) dan dilaporkan stabil.

“Sehingga 12 tengah malam tadi, mangsa yang sudah dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di tiga hospital adalah seramai 108 orang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, 13 Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah diaktifkan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sejak semalam.

“Pegawai Psikologi dari Bahagian Psikologi dan Kaunseling bersama Psychological Support Team (PST) JKM sudah memberi bantuan kepada 238 mangsa yang terbabit sejak semalam.

“Inisiatif ini dilaksanakan untuk mengurangkan trauma dan kebimbangan mangsa bencana dengan skop tugasan pasukan ini adalah membantu dari sudut intervensi krisis, kaunseling, bimbingan dan sokongan psikologikal,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 11:53 AM