Skip this ad x
Izlaily Nurul Ain Hussein


KESAN hidrogen sianida yang dikesan di Taman Tanjung Puteri, Pasir Gudang Rabu lalu, kurang merbahaya berbanding sianida asli yang digunakan dalam senjata kimia.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, gas sianida yang dikesan di kawasan itu adalah hasil tindak balas bahan buangan dengan campuran gas lain.

“Pertama, saya hendak menenangkan keadaan daripada kenyataan yang dibuat semalam, mungkin ada sedikit panik apabila bomba mengatakan ada mengesan sianida dalam udara.

“Sianida ini ada dua, yang asli dijadikan senjata kimia itu memang bahaya, tetapi yang ini pun bahaya, namun ia hasil tindak balas bahan buangan yang kadang-kadang ada dan tiada.

“Kadar bacaan pun biasanya tidak melepasi paras bahaya cuma apabila terima untuk jangka masa lama akan menyebabkan kesan lebih besar,” katanya pada sidang media di Pusat Rawatan Awal, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Sehubungan itu, Yahaya berkata, beliau berharap masyarakat dan penduduk sekitar Pasir Gudang bertenang dan tidak panik dengan kenyataan dibuat pihaknya, semalam.

Pada masa sama, Yahaya berkata, satu kawasan nyah cemar khas dibuka di perkarangan Stadium Tertutup MPPG bagi menyaring pesakit yang datang ke kawasan itu untuk mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini kita ada bina kawasan nyah cemar di belakang stadium dan di lokasi pembersihan di Sungai Kim Kim bagi membolehkan proses nyah cemar dilakukan pada anggota dan pegawai bertugas.

“Adanya kawasan nyah cemar di perkarangan stadium, penduduk dan orang ramai yang mahu melakukan pemeriksaan serta mendapatkan rawatan akan disaring terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke dalam pusat rawatan,” katanya.

Beliau berkata, bomba turut mengambil bacaan kualiti udara di sekitar kawasan pusat rawatan awal itu sebanyak tiga kali sehari dan sehingga kini ia mencatatkan bacaan normal.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 12:18 PM
    ANGGOTA HAZMAT melakukan saringan bacaan pencemaran kimia. FOTO Fahmi Yusof