MOHD Yusof Ahmad. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PERMAINAN dalam talian PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) perlu diharamkan kerana mendidik generasi muda ke arah aktiviti keganasan selain menghilangkan perasaan belas kasihan.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, kerajaan perlu memikirkan perkara itu kerana memberi kesan terhadap kanak-kanak, budak dan remaja yang sedang membesar.

“Bagi saya permainan seperti ini sudah dirancang dalam tempoh yang lama. Tujuannya membentuk generasi muda menyukai aktiviti perang, tempur dan ganas,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Yusof berkata, bagi umat Islam ia bukan perkara baik tambahan pula boleh dimainkan sesiapa menggunakan komputer riba dan telefon bimbit.

“Sebagai kerajaan, perhatikanlah baik dan buruk dan sebagai Menteri fikirlah adakah ia sesuai dijadikan sukan E-Sport,” katanya.

Katanya, permainan itu tidak sesuai dengan kehidupan seharian umat Islam, justeru pihak pemerintah wajib mengekangnya.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari. Saya yakin PUBG boleh menghilangkan perasaan simpati, belas ihsan, kasih sayang dan membentuk anak muda yang tiada perasaan.

“Dalam keadaan semasa, jika hukuman mati mahu dihapuskan tidak mustahil suatu hari nanti senjata api boleh dimiliki tanpa lesen. Jika PUBG sudah dihadam ramai anak muda, fikirkanlah kesannya,” katanya.

Mengulas mengenai

  • insiden berdarah di masjid Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu katanya, kejadian itu disebabkan pemimpin atasan dunia yang membentuk kebencian terhadap Islam.

    “Merekalah yang mewujudkan Islamofobia. Jika orang atas sudah membenci Islam, menjadi perkara biasa bagi rakyat bawahan melakukan pembunuhan,” katanya sedih atas penindasan terhadap umat Islam.

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 1:36 PM