Izlaily Nurul Ain Hussein

KAWASAN sepanjang 1.5 kilometer (km) di Sungai Kim Kim yang tercemar akibat pembuangan sisa toksik 7 Mac lalu, berjaya dibersihkan pasukan bertugas, hari ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, bagaimanapun pemantauan teliti akan dilakukan bermula hari ini bagi melihat jika ada kawasan lain yang perlu dibersihkan.

“Hari ini kita tengok lagi jika ada apa-apa yang perlu dibersihkan sebelum kita tentukan langkah seterusnya,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Pada masa sama, beliau berkata, Jawatankuasa Saintifik yang ditubuhkan bagi menangani isu pencemaran Sungai Kim Kim, kini mengkaji beberapa perkara bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Mereka juga akan mengkaji bagaimana pengaliran air bawah tanah sama ada sudah selamat atau tidak,” katanya.

Menurutnya, selain itu sebanyak 30 pasukan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia digerakkan ke 30 sekolah sekitar Pasir Gudang hari ini, bagi memantau kualiti udara di kawasan berkenaan selepas keseluruhan Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih yang tercemar, sudah dibersihkan.

Katanya, pemantauan itu dibuat di sekolah yang berada di kedudukan antara lima hingga sembilan km daripada lokasi tempat pembuangan sisa bahan kimia di sungai terbabit.

“Hari ini kita gerakkan 30 pasukan ke 30 sekolah untuk pantau kualiti udara menggunakan pengesan gas mudah alih dan esok kita akan dapatkan semua laporan itu.

“Sebelum ini kita sudah membuat pemantauan di tempat berbeza-beza dan secara keseluruhannya udara dalam tahap selamat. Sekarang liputan kawasan pemantauan lebih besar dan kita perlu lihat keseluruhan kawasan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 1:57 PM
YEO (tengah) menunjukkan alat pengesan gas di udara ketika sidang media di MPPG. FOTO Mohd Azren Jamaludin