ANTARA individu yang ditahan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 218 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam operasi bermula 2 pagi itu, seramai tujuh pegawai dan 86 anggota terdiri daripada pelbagai cawangan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Dalam operasi itu, sebanyak 162 motosikal diperiksa membabitkan 181 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk dua wanita yang berusia antara 15 hingga 30 tahun.

“Berdasarkan pemeriksaan dilakukan, sebanyak 218 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, ubah suai motosikal serta cukai jalan tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya turut menjalankan ujian awal saringan air kencing terhadap 10 individu dalam operasi itu, namun kesemua mereka didapati negatif dadah.

“Kami turut menyita tujuh motosikal termasuk sebuah motosikal yang ditinggalkan di dalam longkang oleh penunggang yang bertindak melarikan diri atas kesalahan ubah suai motosikal keterlaluan serta tiada lesen memandu.

“Semua motosikal yang disita dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut dan Operasi tamat kira-kira jam 6 pagi tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 2:43 PM