PENDAFTARAN Nan Bao Capsules dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). FOTO Ketua Pengarah Kesihatan
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional Nan Bao Capsule berikutan dikesan mengandungi racun berjadual sildenafil dan tadalafil.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran produk itu dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuarat ke-332 berikutan pengesanan racun berjadual sildenafil dan tadalafil di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Menurutnya, sildenafil dan tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.

“Ubat mengandungi sildenafil dan tadalafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor dan penggunaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

“Sildenafil, tadalafil dan analognya adalah tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional manakala penggunaannya sangat berbahaya bagi orang awam yang berisiko tinggi terhadap kesan advers itu terutamanya pesakit bermasalah jantung seperti angina yang mengambil ubat nitrate,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana ia melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Katanya, orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ daripada Google Play Store.

From: A’isyah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 9:51 AM