Mohd Sabran Md Sani


SERAMAI 119 orang yang dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, sudah dibenarkan pulang sehingga 12 tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, sehingga kini hanya 29 pesakit saja masih dirawat di wad hospital berbanding 120 pesakit yang dilaporkan semalam.

“Empat pesakit masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding tujuh pesakit sebelum ini.

“Keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan setakat hari ini berjalan dengan lancar dengan lokasi sepanjang 1.5 kilometer yang terjejas dengan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, berjaya dibersihkan.


ANGGOTA Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat persiapan saringan keadaan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas di Sungai Kim Kim. FOTO Adi Safri

Katanya, sebanyak 30 pasukan di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan digerakkan bagi memantau kualiti udara di 42 sekolah dalam radius lingkungan lima hingga 9 kilometer daripada tempat kejadian di sekitar Pasir Gudang.

“Pasukan membabitkan anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia melakukan pemantauan secara menyeluruh bermula hari ini.

“Pengesan gas akan digunakan oleh pasukan pemantau bagi mengesan serta memantau kualiti udara dalam memastikan udara di kawasan yang terbabit benar-benar berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata, lima parameter gas yang akan diperiksa adalah oksigen, karbon monoksida, ‘Low Exposure Limit’ (LEL) ‘Volatile Organic Compound’ (VOC) dan Hidrogen Sulfida (H2S).

Katanya, Jabatan Veterinar sudah melakukan kajian pencemaran terhadap haiwan ternakan di lokasi Sungai Kim Kim pada 10 pagi semalam.

“Hasil daripada siasatan mendapati tiada kawasan ternakan terkesan dengan pencemaran terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 10:41 AM
ANGGOTA Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat persiapan saringan keadaan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas di Sungai Kim Kim. FOTO Adi Safri