Nur Saliawati Salberi


SUAMI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan memukul isterinya sehingga cedera dalam kejadian Februari lalu.

Tertuduh, Uzair Abd Kadir, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa berusia 35 tahun dengan menggunakan bakul baju.


Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas didakwa menyebabkan kecederaan isterinya. FOTO Rasul Azli Samad

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah pangsa di Pantai Peringgit 9 pagi, 13 Februari lalu.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian membuat rayuan agar jumlah jaminan dikurangkan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 7 Mac ini tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 3:26 PM