Patiah Hamzah, 54 maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan bas ekspres di Jalan Tanah Merah-Gua Ipoh di Kampung Kubang Gali. FOTO Ihsan Pembaca.
Muhamaad Razis Ismail


WANITA maut selepas motosikal yang dibonceng terbabit kemalangan dengan bas ekspres di Jalan Tanah Merah-Gua Ipoh di Kampung Kubang Gali, Tanah Merah, 9.40 malam tadi.

Mangsa Patiah Hamzah, 54, meninggal dunia di Hospital Tanah Merah akibat parah di kepala, manakala Suaminya, Ad Adzi Hussin, 64, mengalami calar di tangan kanan dan sakit dada.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, ketika kejadian bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Terengganu.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu bas melihat motosikal dari arah sama berada di hadapan dan dia memperlahankan kenderaan dengan memberi isyarat lampu untuk mengelak ke sebelah kiri jalan.

“Bagaimanapun, penunggang motosikal yang terkejut secara tiba-tiba mengubah haluan ke sebelah kiri jalan.

“Akibat jarak terlalu dekat, bas itu terlanggar bahagian belakang motosikal, menyebabkan penunggang dan pemboncengnya terjatuh.

“Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia pada jam 10 malam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 4:03 PM