Pegawai JAS melakukan pemeriksaan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas di Sungai Kim Kim. FOTO Adi Safri
Mohd Sabran Md Sani


HANYA sebuah daripada 42 sekolah di Pasir Gudang mencatatkan bacaan kompaun organik tidak stabil (VOC) pada kadar lima dan tiga part per milion (ppm).

Jabatan Alam Selatan (JAS) dalam kenyataan berkata, bacaan itu dicatatkan pasukan pemantau di aras bawah dan aras satu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 3, jam 3 petang tadi.

“Sebanyak 42 sekolah dipantau 30 pasukan pemantau Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) di daerah ini dan mencatatkan bacaan sifar ppm (normal).

“Secara keseluruhannya, hampir semua sekolah menunjukkan nilai VOC sifar kecuali SK Taman Rinting 3 yang menunjukkan sekali saja bacaan VOC pada kadar 5 ppm dan 3 ppm,” katanya hari ini.

Katanya, tiada bacaan hidrogen disulfida dicatatkan di semua sekolah.

Menurutnya, pemantauan sama akan dilakukan esok pada jam 9 pagi, 12 tengah hari, 3 dan 6 petang.

Kenyataan itu berkata, kualiti udara di Pasir Gudang semakin pulih dan pemantauan berterusan dijalankan pasukan MESTEC bagi memastikan keadaan benar-benar stabil.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 8:34 PM