Tertuduh, Nurul Syahirah dipenjara tiga tahun atas dua pertuduhan memiliki dua kad tambah nilai tidak sah. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Sarah Zulkifli


KAKITANGAN sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini, menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadapnya.

Wanita itu dituduh atas dua pertuduhan memiliki dua kad tambah nilai Tesco Club berciri Touch n Go yang tidak sah membabitkan kerugian RM2,048, Februari lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurul Syahirah Adnan, 26, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan, 14 Mac lalu.

Dalam prosiding itu, keluarga tertuduh yang hadir untuk memberikan sokongan menangis di galeri awam.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa memiliki dua keping kad tambah nilai Tesco Club berkenaan yang tidak sah dan menggunakan kad berkenaan yang masing-masing RM1,145.50 dan RM907.15 yang mengakibatkan syarikat Touch n Go Sdn Bhd kerugian.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di pasar raya Tesco Ampang, antara 19 Februari dan 1 Mac 2019.

Dakwaan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan dia bergaji kecil perlu menanggung keluarga dengan dua adiknya yang masih bersekolah.

“Kad itu saya gunakan untuk membeli barangan keperluan keluarga dan saya juga menyesal dengan perbuatan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene memohon hukuman sebagai pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam di samping kerugian yang dialami syarikat.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun, manakala dua tahun bagi pertuduhan kedua serta memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 8:53 PM