POLIS berkawal di luar Hospital Christchurch. FOTO AFP
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


“ADA mangsa yang dirawat trauma sehingga menganggap polis beruniform penjahat mahu menyerang mereka,” kata Dr Mohamad Firdaus Mohamad Hanib.

Itu pengalaman diceritakan Dr Mohamad Firdaus, rakyat Malaysia yang bertugas di Hospital Christchurch, New Zealand,

Dr Mohamad Firdaus berkata, insiden serangan pengganas di dua masjid di negara itu Jumaat lalu meninggalkan kesan emosi mendalam kepada mangsa yang terselamat.

Beliau yang bertugas di Jabatan Onkologi hospital berkenaan berkata, ada pesakit yang kerap bertanya kepada kakitangan hospital mengenai keadaan keselamatan mereka

“Selain itu, ada juga dalam kalangan mereka yang acap kali bertanya mengenai kehadiran anggota keselamatan yang berjaga di luar (hospital).

“Ternyata mereka masih dalam ketakutan dan cemas kerana apa yang dialami memang sukar untuk dibayangkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Dr Mohamad Firdaus, sehingga kini, masih tiada satu pun mayat mangsa serangan dua masjid itu yang sudah dikeluarkan dari hospital.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan gambar palsu kononnya jenazah mangsa tembakan sudah dijalankan di negara berkenaan.

Dr Mohamad Firdaus berkata, semua keluarga mangsa berharap mayat boleh dikeluarkan segera dari hospital, namun belum ada mayat dapat dikeluarkan lagi.

“Setakat ini saya tidak pasti sama ada senarai nama yang syahid sudah dikeluarkan atau tidak, namun upacara solat jenazah masih dirancang.

“Bagaimanapun, tempat dan masa (solat jenazah) belum lagi diputuskan.

“Jadi, jangan sebarkan gambar palsu kononnya solat jenazah sudah dijalankan di sini,” katanya

Katanya, meskipun hampir empat hari berlalu, namun polis New Zealand yang lengkap bersenjata masih mengawal ketat kawasan hospital dan masjid sebagai langkah berjaga-jaga.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 9:13 PM