Mohd Daud menunjukkan bot yang dinaiki bersama lapan orang karam kelmarin. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


TERAPUNG hampir 10 jam di tengah laut membuatkan lapan pemancing hanya menyerahkan nasib kepada takdir apabila masing-masing sudah kepenatan dan kesejukan.

Namun sudah tertulis usia mereka masih panjang apabila diselamatkan sebuah bot pukat jerut yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Dalam kejadian jam 9 pagi kelmarin, bot dinaiki 10 pemancing itu terbalik dan karam di perairan Rompin kira-kira 1.9 batu nautika dari Pulau Layak, Tanjung Gemok, Rompin dipercayai mengalami kebocoran.

Bagaimanapun dua pemancing yang dikenali sebagai Alfa Rizuan Abd Aziz dan Azwan Abu Bakar, kedua-duanya dari Johor hilang dalam kejadian itu.

Mangsa yang selamat, Mohd Daud Mohd Noor, 51, berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan mereka tidak sempat berbuat apa-apa.

Dia yang juga tekong bot berkenaan berkata, sebaik menyedari air sudah memasuki bahagian bawah bot, dia bersama rakannya cuba mencedok dan membuang air namun secara tiba-tiba bot terbalik.

“Keadaan menjadi panik apabila masing-masing menjerit dan saya melihat semua pemancing dapat keluar dari bot itu dan terapung.

“Saya kemudiannya berenang dan mencapai beberapa barangan yang timbul antaranya jaket keselamatan, penutup fiber tong ikan, botol air minuman dan memberi kepada pemancing lain bagi memastikan mereka terus terapung..itu penyelamat kami,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Sri Rompin hari ini.

Katanya, dia kemudiannya mencapai tali dan mengikat semua mangsa bagi mengelak mereka terpisah namun ketika itu dia menyedari dua lagi pemancing didapati hilang dan tidak menyahut apabila dipanggil.

Dia yang juga nelayan lebih 30 tahun lalu berkata, mereka hanya berdoa dan berharap ada bantuan tiba.

“Namun selepas terapung dalam tempoh lama, masing-masing sudah kepenatan dan ada yang sudah putus asa.

“Jika kehadiran kami tidak disedari bot pukat jerut berkenaan, mungkin kami juga akan maut,” katanya.

Menurutnya, mereka keluar dari jeti Kampung Sungai Puteri jam 4 petang Jumaat lalu dan merancang untuk berada di laut selama dua malam dan tidak menduga kejadian itu akan berlaku.

Mohd Daud berkata, sudah menjadi kebiasaannya membawa individu yang mahu memancing di tengah laut namun mengakui tidak mengenali dua pemancing yang hilang itu.

Katanya, sebelum bertolak dia sudah memastikan botnya berada dalam keadaan baik dan baru saja diselenggara beberapa minggu lalu.

“Saya kini buntu kerana hanya bot berkenaan menjadi sumber pendapatan saya selama ini...saya terasa seperti separuh nyawa hilang apabila bot berkenaan karam,” katanya.

Berita berkaitan

Dua pemancing hilang bot dinaiki karam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 9:29 PM