Maimunah bersama anaknya, Zulina Damanhuri menunjukkan pingat yang diterima. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PATUH arahan bapa yang memintanya menjadi polis wanita ternyata pilihan tepat apabila bukan saja tidak menyesal membuat pilihan itu, sebaliknya bangga dan kekal berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga bersara ketika berusia 45 tahun.

Maimunah Abd Razak, 82, adalah Srikandi Skuad Wanita pertama dan antara 54 anggota yang mula menyertai Civil Affairs Police Force sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Menceritakan bagaimana dia boleh menceburi kerjaya polis, Maimunah berkata, ketika berusia 19 tahun dia sibuk mencari kerja dan bapanya, Allahyarham Abd Razak Jailani, memintanya mengisi borang memohon menjadi anggota polis.

“Ayah yang suruh masuk polis. Dia bagi borang suruh saya isi. Ketika itu saya memang sedang cari kerja, saya ikut saja,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Dia antara 396 penerima pingat pada majlis itu terdiri daripada pegawai dan anggota yang bersara dan masih berkhidmat yang disampaikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Turut hadir Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Maimunah yang juga ibu kepada dua anak berkata, dia bangga melihat ramai wanita menceburi kerjaya itu hari ini.

“Bangga bila lihat ramai wanita sekarang memilih kerjaya polis. Dulu orang takut, sekarang semua berani.

“Saya harap lebih ramai anak-anak muda wanita menjadi polis kerana inilah masanya kita mahu membela negara. Walaupun sekarang tiada penjajah, tetapi jenayah masa kini macam-macam,” katanya.

Maimunah juga adalah Konstabel Polis Wanita pertama mendapat pangkat Sub Inspektor pada 1982 sebelum bersara pilihan pada 1983 ketika berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Sepanjang khidmatnya, dia dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK Perak) pada 1960-an dan Pingat Pahlawan Negara pada 1980 dan menjadi penerima wanita pertama yang dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara itu bagi Kontinjen Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 10:06 PM