Seorang lelaki, dua wanita tempatan dan tiga remaja Sri Lanka ditahan pihak imigresen selepas cuba menipu identiti. Foto Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia.
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


TINDAKAN seorang lelaki dan dua wanita tempatan membuat permohonan pasport antarabangsa untuk tiga remaja warga Sri Lanka dengan menipu sebagai anak sendiri akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Biarpun mereka membawa sijil kelahiran anak masing-masing namun penipuan mereka terbongkar apabila remaja terbabit tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, ketiga-tiga mereka membawa remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun dan mengaku sebagai penjaga kepada remaja terbabit.

“Mereka datang ke pejabat JIM di UTC Sungai Petani dan berurusan di kaunter 1 dan 3, mereka membawa sijil kelahiran yang didakwa sijil kelahiran ketiga-tiga remaja itu untuk membuat permohonan pasport namun ia adalah sijil kelahiran anak kandung masing-masing.

“Semasa di kaunter, lelaki dan wanita terbabit memberitahu mahu membawa ‘anak mereka’ ke Perancis untuk bersekolah di sana namun petugas di kaunter mula curiga apabila ketiga-tiga remaja itu tidak tahu bertutur dalam Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris.

“Pegawai Imigresen diketuai Farahanun Zainal kemudian bertindak melakukan siasatan lanjut dan akhirnya lelaki dan dua wanita terbabit mengaku bahawa remaja yang dibawa bukanlah anak kandung mereka tetapi kanak-kanak warganegara Sri Lanka,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Zuhair berkata lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 41 tahun serta tiga remaja itu ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah untuk siasatan lanjut.

Katanya, pihak Imigresen akan menyiasat segala kemungkinan tujuan sebenar lelaki dan dua wanita terbabit membawa tiga remaja Sri Lanka itu untuk mendapatkan pasport antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 11:34 PM