RUMAH penduduk musnah terbakar dalam kejadian membabitkan lima rumah di Kampung Ulu Rantau. Foto Ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


LIMA rumah di Kampung Ulu Rantau, Seremban, musnah terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, penduduk, Lee Yun Choy, 54 melecur di tangan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya mengerahkan 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, BBP Port Dickson, BBP Rembau dan BBP Senawang ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba 9.22 malam, pihaknya mendapati api marak membakar kelima-lima rumah berkenaan.

“Kerja pemadaman dibuat segera dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya 10.52 malam.

“Kebakaran itu menyebabkan lima rumah penduduk itu musnah 100 peratus,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan permulaan kebakaran itu.

“Dalam kejadian itu, seorang penghuni yang melecur dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) manakala penghuni dapat menyelamatkan diri,” katanya.


AMINUDDIN turun ke lokasi kebakaran untuk meninjau dan menyalurkan bantuan. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turun ke lokasi bagi meninjau keadaan dan akan menyalurkan bantuan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 1:15 AM