NURUL Hasliza ada petua tersendiri dalam memastikan bacaan ayat suci al-Quran dapat dilontarkan dengan merdu. FOTO/NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


QARIAH tilawah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Hasliza Ahmad, 40, memiliki petua tersendiri dalam memastikan bacaan ayat suci al-Quran dapat dilontarkan dengan merdu.

Nurul Hasliza berkata, petua itu dipelajari daripada arwah ibunya, Allahyarhamah Halimah Imam Mat Akil dan beberapa guru lain untuk memanjangkan nafas, melunakkan dan menjaga suara.

Katanya, semua petua dan pantang larang perlu diamalkan selama sebulan sebelum pertandingan.

“Bagi tujuan pernafasan, saya bersenam dan berlari sambil mengemam air putih. Jangan minum air itu, jika air di dalam mulut sudah habis (keluar) minum semula air dan ulang beberapa kali sehingga berpeluh,” katanya.

Adik pelakon Razak Ahmad itu berkata, kaedah kedua adalah menyelam di sungai atau air kolah dengan menahan nafas dan menjerit sekuat hati untuk melantangkan suara.

“Cara ketiga adalah mengambil batang keladi dan memasukkannya dalam lubang hidung hingga tekak untuk mengeluarkan lendir. Ia penting untuk melancarkan suara dan pernafasan panjang,” katanya.

Anak jati Kuala Lipis, Pahang itu berkata, dia menyertai semula Majlis Tilawah dan Menghafal Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1440H/ 2019M di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) selepas ibunya meninggal dunia pada 2010.

“Arwah ibu dan bapa amat mementingkan al-Quran dalam kehidupan seharian. Saya dan abang (Razak Ahmad) selalu diberi penekanan pentingnya hidup sebagai umat Islam yang baik,” katanya.

Nurul Hasliza berkata, dia pernah mewakili Pahang sebelum mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebaik bekerja sebagai pembantu Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2003.

“Saya menyertai semula majlis tilawah pada 2016 dan dinobatkan naib johan Peringkat Zon B Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, tahun lalu saya bergelar johan bagi peringkat Wilayah Persekutuan,” katanya yang menetap di Puncak Alam, Selangor.

Menurutnya, dia akan memperdengarkan bacaan hari ini selain memaklumkan mampu membaca tiga baris ayat al-Quran dalam senafas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 8:00 AM